3 sipat Yang Menghancurkan Manusia
Bismillahirrahmaanirraahiim,
Assalamu Alaikum warahmatullahi wabarahkatuh
Ketua pemuda ahli syurga, Hasan bin Ali radhiaLlahu
anhuma, di dalam himpunan nasihat dan kata – kata hikmah yang terakam di dalam
sejarah ketinggian ilmu dan budinya pernah bekata;
“Kehancuran manusia adalah pada 3 perkara:
1) Sifat takabbur.
2) Sifat Tamak.
3) Sifat dengki. Adapun sifat takabbur, ia menghancurkan
ugama dan kerananyalah iblis dilaknat oleh Allah.
Sifat tamak pula, ia adalah musuh kepada diri sendiri
dan kerananyalah nabi Adam dikeluarkan daripada syurga. Manakala sifat dengki
adalah pengepala kepada kejahatan dan kerananyalah Qabil telah sanggup membunuh
Habil.” ( Kitab ‘Allimu auladakum hubba aali baiti al nabi. ms 30 )
Inilah hikmah yang hebat dan cukup meruntun jiwa untuk
menginsafi diri dan mendorong taqwa kepada Allah. Semoga Allah merahmati Hasan
bin Ali radhiaLlahu anhuma dan menempatkan kita bersamanya dan para sahabat
radhiaLlahu anhum di syurgaNya.
Inilah 3 sifat buruk yang disebut di dalam al Quran
sebagai punca awal maksiat sang makhluk kepada tuhannya. Sebelumnya tiada
satupun makhluk kecuali tunduk dan patuh kepada tuhan sang pencipta yang maha
agung.
Ia bermula dengan sifat angkuh dan sombong Iblis yang
enggan sujud kepada Adam alaihissalam. Di situlah bermula keengkaran dan
kekufuran, lalu iblis dilaknat Allah.
Kemudian datuk kita terlalai oleh pujukan dan tipudaya
iblis daripada mengingati pesanan tuhannya untuk tidak mendekati ‘pokok sambung
nyawa’ di syurga itu. Nabi Adam didorong oleh ketamakan untuk kekal hidup tanpa
mati di syurga menikmati anugerah Allah. Adam memakan daripada pokok itu, lalu
baginda dihukum dengan dikeluarkan daripada syurga disebalik taubatnya yang
diterima Allah.
Kemudian Allah menceritakan jenayah pertama di muka bumi
yang dilakukan oleh Qabil yang telah sanggup membunuh saudara kandungnya
sendiri, Habil kerana sifat dengki yang meluat – luat sehingga membutakannya
daripada mendengar nasihat yang benar daripada saudaranya itu.
Sayyidina Hasan telah mengingatkan kita bahawa ketiga –
tiga sifat buruk inilah yang akhirnya terus membunuh dan menghancurkan manusia
selepas daripada itu. Manusia gagal mengambil iktibar daripada cerita – cerita
awal kejadian manusia itu, gagal mengesan keburukan sifat – sifat tersebut di
dalam tubuh mereka dan gagal menghindari dan mengubatinya.
Sifat takabbur adalah lawan sifat tawadhu’. Ia bermaksud
membesar diri dan membangga – banggakan keadaan dirinya, seterusnya memandang
leceh dan rendah terhadap orang lain. Inilah sifat paling buruk kerana
daripadanyalah akan lahir dan bercabangan sifat – sifat buruk yang lain. Ini
kerana sifat itu hanya layak untuk Allah dan menjadi milikNya semata – mata.
Sifat takabbur mudah dikesan kerana wujud tanda – tanda
yang zahir, antaranya; suka menunjuk diri di khalayak ramai, menonjolkan
kelebihannya di hadapan mereka, suka mengetuai majlis keramaian dan berlagak
semasa berjalan, tidak suka kata – katanya ditolak sekalipun salah bahkan
enggan menerima teguran dan memandang rendah terhadap orang yang lemah dan
miskin.
Selain itu, antara tanda – tanda takabbur lagi adalah
suka menyucikan diri sendiri dan memuji – mujinya, berbangga dengan
keturunannya dan menunjuk – nunjuk dengan kekayaannya, ilmunya, ibadahnya,
kecantikannya, kekuatannya, penyokong dan pembantunya yang ramai dan lain –
lain lagi.
Sifat tamak pula adalah keinginan melampau untuk
menikmati harta dan kedudukan. Tamak terhadap harta ada 2 peringkat;
Pertama, terlalu inginkan harta dan bersungguh – sungguh
menperolehinya melalui jalannya yang harus dan dibenarkan. Ini tetap tercela
kerana betapa banyak masanya dihabiskan untuk memburu harta sedangkan masa itu
adalah emas yang lebih bernilai daripada harta. Masanya itu sepatutnya
dihabiskan untuk memburu taqwa dan taat kepada Allah berbanding harta yang
telah ditetapkan oleh Allah untuknya.
Kedua, ketamakan terhadap harta sehingga mendorongnya
melampaui had yang dibenarkan syara’. Ia memasuki jalan – jalan haram tanpa
lagi menghiraukan kemurkaan Allah. Inilah penyakit ‘asy syuhh’ ( terlalu bakhil
) yang diingatkan Allah di dalam al Quran agar dijauhi.
Sabda Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam: ” Berhati –
hatilah kamu daripada sifat asy syuhh. Sesungguhnya asy syuhh itu telah
menghancurkan orang sebelum kamu. Ia menyuruh kepada putus hubungan, lalu
mereka memutuskannya. Ia menyuruh kepada kebakhilan, lalu mereka menjadi
bakhil. Ia menyuruh kepada kejahatan, lalu mereka melakukan kejahatan.” (
Riwayat Abi Daud. Albani mensahihkannya.)
Adapun tamak kepada kedudukan, maka ia adalah lebih
buruk daripada tamak kepada harta. Ia terbahagi kepada 2 bahagian;
Pertama, tamak kepada kedudukan melalui kuasa dan harta.
Ini cukup bahaya kerana ia akan menghalang daripada kebaikan akhirat dan
kemuliaannya. Orang yang menggilai kekuasaan tidak akan dibantu dan diberi
petunjuk oleh Allah kecuali mereka yang menerimanya tanpa meminta.
Kedua, tamak kepada kedudukan melalui perkara – perkara
ugama seperti ilmu, amal, kezuhudan dan sebagainya. Inilah seburuk – buruk
ketamakan. Agama adalah untuk memburu dan mengejar ridha Allah dan kedudukan di
sisiNya, tetapi mereka ini telah menyalah gunakannya untuk keduniaan.
Manakala sifat dengki pula, maka ia adalah lawan sifat
suka dan mengimpikan kebaikan untuk orang lain. Dengki menjadikan tuannya
terlalu mengimpikan sesuatu nikmat itu hilang daripada orang lain. Ia adalah
penyakit yang buruk, hina dan menghancurkan segala kebaikan. Allah menyuruh
nabiNya berdoa agar dijauhi daripada kejahatan mereka yang berdengki. ( Surah
al ‘alaq; 5 )
Hasad dengki terjadi akibat beberapa perkara;
permusuhan, kebencian, ujub, cintakan kedudukan, busuk hati dan lain – lain
penyakit hati. Ia terlalu buruk dan menakutkan kerana ia boleh saja berlaku di
kalangan sendiri, kawan – kawan, para ulama dan peniaga dan keluarga.
Itulah gambaran ringkas keburukan 3 penyakit utama yang
menghancurkan manusia sebagaimana digambarkan oleh Sayyidina Hasan bin Ali
radhiaLlahu anhu.
Semoga Allah memudahkan kita untuk menjauhi diri
daripada berakhlak dengan akhlak – akhlak yang buruk dan terhina. Bersamalah
menghias diri dengan sifat – sifat ugama yang mulia.
| Supported? |
Tidak ada komentar:
Posting Komentar